Pantun Berkasih


bunga melati hiasan juadah
buat hidangan juragan tua
bila hati dilanda gundah
ke mana hati hendak kubawa

ada teratak di seri alam
ada beringin tegak berdiri
bayu tidak menyampaikan salam
daku yang dingin resah sendiri

sudah selalu hujan gerimis
mencari merbah sampai ke desa
teringat daku kenangan manis
sesak jiwaku mengepung rasa

angin menderu daun selisih
bunyi berderai berhenti kaku
kubiar rindu mendakap kasih
menjalar teguh dalam jiwaku

sarung sunda corak beribu
titipan indah dari penghulu
gurau senda mengusik kalbu
namun gundahku tiada berlalu

jatuh melayang ditapak tangan
daun senduduk terus layuan
insan tersayang hanya bayangan
daku si pungguk rindukan bulan

bahagi bubur sama rata
dimakan dengan telur puyuh
hendak tidur tidur lah mata
usah di kenang orang yg jauh

padi huma padi malinja
sudah timbang habis disukat
jika kanda ingin bermanja
silakah kemari datang mendekat

sudah manis kuih baulu
jangan pula bersira madu
bila dekat terasa malu
bila jauh mula merindu


dari Belanda naik bahtera
saudara berempat gagah berani
harap kanda sihat sejahtera
agar selalu dapat bersua disini

duduk di beranda waktu pagi
gurau senda gubah melati
tentu dinda kemari lagi
kerana kanda penghibur hati

masak lokan bersama lada
elok dihidang diatas meja
datang ku bukan membelah dada
tapi datang menumpang manja

ayam berlada dicampur kari
bubuh lada pedas berganda
andai kanda sampai kemari
tinggalkanlah tanda untuk dinda

gurau senda bersama-sama
elok bersenda berlapang dada
gembira kanda tujuan utama
bahagia kanda harapan dinda

tiada terkira bijak pendita
berbau harum mandian bunga
hati bahagia tiada terkata
daku tersenyum sampai ke telinga

turutkan hati pergi jelajah
hampir binasa belum berpunya
lega hati terpandang wajah
kupinta masa berhenti detiknya

duduk bersila lalu bertanya
berlapang dada baru pulang
bertuahnya bila sudah berpunya
itu tandanya ada yang sayang

seguni duku dibahagi lapan
orang sebelah tersenyum sopan
betul ke daku diberi harapan
alamat bahagialah masa depan

pandan dimayang tumpah di perdu
bawa paku simpan di perahu
siapa disayang siapa dirindu
kau dan aku jua yang tahu

ambil madu belikan baulu
hari selasa di rumah penghulu
orang dirindu disebut selalu
terasa masa lambat berlalu

beli madu letak di perahu
untuk raya pulang ke Maluku
orang dirindu mungkin tahu
biarlah ia rahsia hatiku

buah perada dari jawa
berserta lada milik baginda
duhai kanda belahan jiwa
tanpa kanda tersiksalah dinda

berikan orkid kepada puan
bersama badam serta selasih
rasa sakit rindukan tuan
kerana memendam rasa kasih

ikat benang di pucuk pauh
pucuk pauh didalam dulang
rindu mengenang orang jauh
orang jauh bila kan pulang

jala ditebar hati nan pilu
kapal berlalu sampai ke Maluku
ingin kukhabar rasa hatiku
terasa malu lidahku kelu

ikan gelama masak kari
campur lada dengan meranti
sudah lama tidak ke mari
rupanya kanda setia menanti

pucuk mengkudu dipetik perindu
sambil menyusun perhati rerama
kanda rindu dinda pun rindu
rindu berpantun bersama-sama

burung tempua di pohon kuini
hinggap terbang tepi perigi
masih jua ada disini
walau terbang kembali lagi

dara bermadah dalam sendu
dapat dinar dari tetamu
lembut lidah berkata rindu
apa benar dalam hatimu?

untuk tetamu buah delima
buah duku biarkan merata
bingkisan rindu sudah kuterima
bahagia hatiku tiada terkata

buah kuini kuih keria
habis basah terkena cuka
hari ini kita bahagia
bila terpisah usah berduka

No Response to "Pantun Berkasih"

Post a Comment

Photo Gallery